Sabtu, 06 Juni 2009

Adab Mengajar ( Fauzil Adhim)

ADAB-ADAB MENGAJAR *
(Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed)
Pendahuluan
Melalui ilmu pengetahuan manusia akan mentaati Allah Azzawajalla, memperhambakan diri
kepadaNya, mengesakanNya dan membesarkanNya. Dengan ilmu pengetahuan jugalah manusia boleh
mencapai darjat kewarakan dan dapat membezakan di antara halal dan haram. Ilmu pengetahuan juga
diumpamakan sebagai pembimbing ke arah tahap orang-orang yang terpuji dan tertinggi kedudukannya.
Justeru itu, agama Islam amat menggalakkan umatnya menyebarkan ilmu pengetahuan. Di antara ayat-ayat
al-Quran mengenai keutamaan mengajar ialah seperti firman Allah Ta’ala (al-Imran : 187) yang bermaksud
“Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu
sekalian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu dan jangan kamu
menyembunyikannya.”
Islam juga menghukumkan salah bagi orang yang menyembunyikan ilmu pengetahuannya,
sebagaimana dihukumkan haram pula orang yang menyembunyikan penyaksiannya. Firman Allah Ta’ala
(al-Baqarah: 283) yang bermaksud “Barangsiapa menyembunyikannya (penyaksiaan), maka berdosalah
hatinya”. Perbincangan selanjutnya akan membicarakan beberapa perkara yang berkaitan dengan diri
pengajar dan juga hal-hal yang terkandung di dalam aktiviti-aktiviti mengajar. Topik-topik yang akan
disentuh adalah meliputi ciri-ciri seseorang pengajar dan tertib atau adab mengajar mengikut tuntutan atau
perspektif Islam.
Ciri-Ciri Pengajar atau Guru
Menurut Ibn ‘Aqnin dalam Rosenthal (1992) terdapat tujuh syarat menjadi guru iaitu (a)
kemahiran yang lengkap tentang subjeknya; (b) suatu kehidupan amalan yang selaras dengan ilmu; (c)
penerimaan akan tidak adanya upah bagi pengajarannya; (d) layanan kepada pelajar seolah-olah mereka
anak-anaknya; (e) suatu keyakinan yang mendalam tentang kecemerlangan ilmu dan amalan yang
dimaklumkan dari ilmu, begitu juga keinginan untuk menanamkan keyakinan ini dalam diri pelajar-
pelajarnya dan dengan itu memimpin mereka ke arah kebahagiaan; (f) lembut dan sabar dengan pelajar-
pelajarnya; dan (g) menggunakan kurikulum yang bertingkat-tingkat yang disesuaikan dengan kemampuan
mental dan tahap perkembangan pelajar.
Guru Sebagai Pengamal Ilmu
Sebagai pengamal ilmu, seseorang guru mempunyai peranan serta tugas yang amat berat, rumit
dan mencabar. Pembangunan insan dan negara terletak di atas pundak kaum guru. Dalam era ledakan
teknologi maklumat dan pada ketika dunia kini menjadi sebuah ‘global village’, tuntutan terhadap ilmu
pengetahuan menjadi semakin mendadak. Justeru itu, guru-guru perlu dan harus sentiasa mengemaskinikan
serta mempertingkat ilmu pengetahuan masing-masing. Dalam perkembangan berkaitan, Islam bukan
sekadar menganjurkan umatnya mencari atau menuntut ilmu malah penyebaran ilmu juga menjadi satu
kewajipan. Shahril @ Charil Marzuki, et. al. (1993) menegaskan guru sebagai pengamal ilmu, mempunyai
peranan serta tanggungjawab sosial iaitu (a) perancang, fasilitator dan pengurus pembelajaran; (b)
penyampai ilmu pengetahuan; (c) pembentuk akhlak; (d) pembimbing; dan (e) contoh teladan atau model.
Menurut Mohd. Idris Jauzi (1990) untuk membolehkan para pendidik memainkan peranan
berkesan dan positif sebagai pengamal dan penyampai ilmu, guru haruslah secara berencana dan
berterusan: (a) mempersiapkan diri dari segi keilmuan; (b) berusaha membersihkan diri dari segi sahsiah
menerusi ibadah-ibadah asas; (c) meningkatkan kecekapan, ketajaman dan ketrampilan diri dalam
pelaksanaan tugas dan interaksi dengan masyarakat; (d) melaksanakan tugas keguruan dengan sebaiknya;
(e) menawarkan khidmat bakti dan kepimpinan dalam kehidupan bermasyarakat; dan (f) menjadikan
sekolah selaku gedung ilmu dan jemaah ilmuan sebagai pusat pendidikan anggota masyarakat.
Guru atau para pendidik juga seharusnya mempunyai dedikasi dan komitmen terhadap profesion
serta tanggunggungjawab moral mereka sebagai seorang guru. Mengikut Jujun S. Suriasumantri (1990)
sebagai seorang pengamal ilmu, seseorang guru harus mempunyai tanggungjawab profesional yang
mencakupi asas kebenaran, kejujuran, tanpa kepentingan langsung, menyandarkan kekuatan penghujahan,
rasional, objektif, kritis, terbuka, pragmatis, dan nuetral dari nilai-nilai yang bersifat dogmatik dalam
menafsirkan hakikat realiti.

0 komentar: